Rabu, 17 Mac 2010

Datuk Lee Chong Wei


Menurutnya, kejayaan yang hadir selepas kali terakhir pemain Malaysia muncul juara menerusi Muhd Hafiz Hashim pada 2003 selain menamatkan penguasaan pemain China bukan hanya bererti buat dirinya, malah dikongsi bersama rakyat Malaysia.

“Tahun ini sangat istimewa kerana saya yakin akan dikenang sebagai juara perseorangan lelaki edisi ke-100 tahun, semua orang akan memperkatakannya,” kata Chong Wei.

Begitupun dia mengakui gementar ketika mula melangkah masuk ke gelanggang untuk memburu mahkota kejuaraan yang belum dinikmatinya itu.

“Saya akui tidak beraksi baik dalam perlawanan ini, sangat gementar. Tapi menyedari ini adalah peluang terbaik saya untuk muncul juara, saya terus mencuba kerana enggan peluang terhidang terlepas begitu saja. Jadi saya rasa aksi kurang baik yang saya pamerkan itu sudah dilupakan dengan kemenangan ini,” kata Chong Wei yang akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, petang ini.

Kegembiraan Chong Wei itu turut dikongsi jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek biarpun beliau tidak pernah menjuarai Seluruh England sewaktu bergelar pemain.

Beliau yang dihubungi sebaik Chong Wei bergelar juara menganggap segala hasrat yang direncana buat pemain nombor satu dunia itu sudah tercapai.

“Apa yang pernah kita cakapkan sebelum ini mencapai matlamat, Chong Wei sudah mempamerkan aksi konsisten apabila mencapai 100 peratus kemenangan dalam semua kejohanan yang disertai tahun ini.

“Ini adalah 100 tahun Seluruh England, bukan kejohanan biasa dan perasaan memenanginya turut berbeza. Menjuarai edisi 100 tahun ini melampaui segala kegembiraan mencatat kejuaraan hatrik itu sendiri, tahniah Chong Wei,” kata Misbun.

Mengulas mengenai cabaran Tago pada perlawanan itu, Misbun berkata dia tidak terlalu bimbang biarpun pemain itu mencipta dua kejutan besar menewaskan pemain China, Chen Jin dan Bao Chunlai.

“Saya tidak bimbang sangat sebab situasi dihadapi Chong Wei ini seumpama dalam latihan ketika dia bertarung menentang pemain muda negara. Mungkin Chong Wei menjadi idola Kenichi dan dia amat mendalami corak permainan Chong Wei sehingga dapat mengagak setiap hantaran pemain nombor satu dunia ini, malah saya anggap Kenichi langsung tiada tekanan,” katanya.

Menurutnya, perbezaan antara Chong Wei dan Kenichi dalam perlawanan akhir itu adalah kelebihan strategi dan taktikal yang ada pada pemain negara itu.

“Saya sedar Kenichi akan cuba membalas setiap hantaran Chong Wei, jadi saya tekankan aspek strategi kerana daripada segi fizikal, saya lihat dia mampu menandingi Chong Wei. Jadi sekarang ini, Chong Wei perlu terus bekerja keras, mengekalkan kecergasan dalam sesi latihan,” katanya.

Tiada ulasan: