Rabu, 29 Mei 2013

Piala FA : JDT VS Pahang, Ditunda


SULTAN Ahmad Shah (dua dari kiri) berbincang dengan pegawai perlawanan.
 
Dua penyokong Pahang dan Johor Darul Takzim (JDT) cedera terkena objek dibaling individu tidak bertanggungjawab pada aksi separuh akhir kedua Piala FA yang melakar episod mendukacitakan di Stadium Darul Makmur, malam tadi.

Seorang wanita dipercayai penyokong Pahang terpaksa dibawa keluar polis selepas mata kanannya cedera terkena objek dibaling ketika dia dan lebih 7,000 penyokong tuan rumah terpaksa duduk di trek gara-gara stadium skuad Tok Gajah itu penuh sesak.

Seorang penyokong Johor DT pula memegang kepalanya selepas terkena balingan objek sekali gus menghidangkan risiko besar buat Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) terhadap tindakan yang boleh dikenakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang pasti berang dengan insiden ini.

Pertemuan yang diungguli Johor DT hasil kemenangan 1-0 di Stadium Larkin, Sabtu lalu itu gagal dimulakan mengikut jadual sebenar selepas 7,000 penyokong tuan rumah memenuhi trek, memaksa semua pihak terbabit mengadakan mesyuarat tergempar mencari jalan penyelesaian serta-merta.

Perlawanan dijadual bermula 8.45 malam tertangguh satu jam 40 minit sebelum pengadil perlawanan membatalkan aksi itu pada jam 10.25 malam.

Untuk rekod, Stadium Darul Makmur hanya mampu menampung 35,000 penyokong tapi 42,000 penyokong kedua-dua pasukan dianggar membanjiri stadium yang pernah menyaksikan anak didik Dollah Salleh menewaskan Johor DT, 3-2 pada saingan Liga Super, beberapa bulan lalu.

Bagi meredakan keadaan, Sultan Pahang yang juga Presiden FAM Sultan Ahmad Shah serta Presiden PBNP Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah turun bertanyakan situasi sebenar kepada barisan pegawai perlawanan selain bertemu penyokong Tok Gajah di trek.

Berdasarkan peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), setiap perlawanan tidak boleh dilangsungkan andai ada penyokong pasukan duduk terlalu hampir dengan padang kerana dibimbangi bakal mencetuskan keadaan tidak selesa pemain yang pastinya risaukan keselamatan masing-masing.

PASUKAN Simpanan Persekutuan (FRU) dan polis bekerja keras menghalang penyokong yang menyerbu masuk ke padang sejurus perlawanan separuh akhir antara Pahang dan Johor Darul Takzim dibatalkan dengan tarikh baru akan diumumkan kemudian.  

 SULTAN Pahang, Sultan Ahmad Shah mencemar duli turun ke trek bagi memantau sendiri keadaan penyokong yang begitu ramai menyaksikan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dan Johor Darul Takzim, di Stadium Darul Makmur. 

PENYOKONG Pahang yang cedera selepas terkena objek yang dibaling.

Malam tadi PENGULAS SUKAN RTM TV1, menyatakan bahawa ini adalah situasi pertama kali dalam sejarah bola sepak MALAYSIA berlaku keadaan sedemikian, dimana penonton melimpah sampai ike trek. TAPI, adakah anda lupa bahawa keadaan yang sama pernah berlaku ketika Sarawak VS Kedah, 1988 sehinga perlawanan terpaksa ditunda dan diadakan Singapura? Adakah PENGULAS sukan RTM TV1 itu terlupa atau sememangnya Provokasi daripada pihak media keatas pasukan NGAP SAYOT?

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tandanya bola sepak malaysia makin maju dan memerlukan evolusi drastik daripada FAM terutamanya... Penyokong sudah berubah daripada suram kepada fanatik! FAM maseh tidak berubah? Apa macam?