Rabu, 8 Mei 2013

ATM Vs Johor Darul Takzim 07.05.2013

JAMES (tengah) cuba menanduk bola tetapi dihalang oleh pemain JDT.

Seremban: Marlon Alex James memastikan ATM terus mengekori rapat pendahulu Liga Super, LionsXII apabila menjaringkan dua gol ketika membantu Gladiators menewaskan pasukan bertaraf bintang, Johor Darul Takzim, 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Penyerang St Vincent & Grenadines itu nyata menampilkan aksi yang menjadikannya penjaring terbanyak liga apabila menguji benteng Johor DT seawal minit ke-6, namun impian ATM untuk mendahului awal tidak menjadi apabila tandukan penyerang import itu tersasar.

Ayam tambatan naib juara Piala Malaysia itu sekali lagi menguji kecekapan Al Hafiz Hamzah pada minit ke-13, tetapi penjaga gawang Johor DT itu dapat menangkap kemas percubaannya. Kealpaan pemain pertahanan JDT, juga menjadi faktor serangan merbahaya daripada ATM.

Ketika aksi separuh masa pertama menghampiri penamat James sekali lagi berdepan dengan peluang untuk meletakkan ATM di depan tapi usahanya sekali lagi gagal sehingga kedudukan kekal tanpa jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.

Babak kedua menyaksikan ATM menggandakan asakan dan James akhirnya memecah kebuntuan apabila menanduk kemas hantaran Bruno Martelotto pada minit ke-54.

Kedudukan kemudian menjadi lebih selesa buat pasukan tuan rumah itu apabila James sekali lagi membocori gawang Johor DT selepas menggelecek dua pertahanan lawan sebelum merembat padu untuk gol kedua peribadinya pada perlawanan itu.

Pemain Tentera, Nor Fazly Alias (tengah) diasak oleh pemian Johor DT, Safiq Rahim (kiri) pada saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, malam tadi.

Begitupun Johor DT yang cuba meletakkan diri mereka dalam kelompok pencabar, memperoleh peluang terbaik untuk memperbaiki jurang, namun sepakan penalti Leonel Nunez pada minit ke-66 diselamatkan penjaga gawang, Farizal Harun.

Kedudukan 2-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan dengan ATM kekal menghuni tangga kedua, ketinggalan satu mata kepada LionsXII. Pasukan dari Singapura itu terus unggul di persada liga dengan 31 mata, tapi mempunyai kelebihan satu perlawanan berbanding ATM.

Lain-lain keputusan 07.05.2013

Terengganu (1) Vs (2) Singapore LIONSXII
Perak (2) - (1) Negeri Sembilan
Pahang (2) - (2) Selangor
PKNS (2) - (1) PBDKT T-Team
Kelantan (3) - (0) Felda United

Kedudukan Liga Super 07.05.2013

Sumber : MyMetro, Soccerway

Tiada ulasan: